Enaknya paeh anak marak

from Perak with luv... not sure which part cakap camni..

SEMPENA cuti sekolah, Ikah dan Ira balik ke kampung di Perak untuk tinggal bersama-sama opah mereka selama seminggu. Ikah dalam Tingkatan Satu dan Ira masih dalam Darjah Empat. Kedua-dua mereka bersekolah di Petaling Jaya, Selangor.

Pada hari kedua, kedua-dua adik-beradik ini di kampung…

Opah: Ikah! Ajak adik naik, makan.
Ikah: Lauk apa opah?

Opah: Paeh anak marak sama tempoyak bocat.

Ikah mengajak adiknya Ira yang sedang asyik bermain di bawah, naik ke rumah untuk makan tengah hari.

Ikah: Ira, jom naik. Opah panggil tu, makan. Dia kata ada lauk anak burung merak.

Ira: Best tu, tentu sedap macam rendang angsa semalam. Semalam dah makan angsa, hari ni makan burung merak. Esok makan apa pulak agaknya?! Tentu benda yang best-best.

Setelah mengadap hidangan….

Ira: Kak Ikah! Mana gulai burung meraknya? Takde pun bawah sangai ni. Ikah: Opah, mana gulai anak meraknya, takde pun bawah sangai ni. Kat dapur lagi ke? Biar Ikah tolong ambil.

Opah: Mana pulak peginya, tadi opah dah letakkan bawah sanga tu. Dah dilarikan kucing ke?

Opah datang ke meja hidangan dan mengangkat tudung saji.

Opah: Ni ha! Ada ni, bebungkus dengan daun pisang ni.

Ikah membuka bungkusan tersebut.

Ikah: Ini anak ikanlah opah, bukan burung merak. Kecik-kecik macam ni macam mana nak makan. Kepalanya pun ada lagi.

Opah: Inilah namanya anak marak, bukan burung merak. Mana nak coye burung merak. Kalau buang kepala, apanya yang tinggal, tulah kena masak semuanya. Kena makan semua sekali, tak payah buang kepala.

Ira: Mana dapat anak ikan banyak-banyak ni?

Opah: Pagi tadi mak nyah pergi sauk kat bendang. Sedap buat paeh ni. Ibunya Kimi dah kae, tu yang masak tempoyak tu. Ah! Apa tunggu lagi, senduk nasi tu makan le. Itu yang ada lauk orang kampung! Makan cepat karang sejuk pulak paeh tu, tak sedap.

Setelah selesai makan….

Ikah: Sedaplah paeh anak marak ni, opah… kan Ira?

Ira: Nasi sampai tambah tiga kali.

Opah: Tulah, lauk orang kampung sedap juga. Kome asyik makan kentaki aje, bukannya sedap sangat. Galok-galok le balik kampung. Bila cuti sekolah, suruh papa hantar balik rumah opah. Boleh selalu makan paeh anak marak.

  • Anak marak - anak ikan haruan yang masih berwarna merah dan berkumpulan.
  • Bocat - ikan haruan dalam dialek Perak.
  • Paeh (pais) - masakan ikan yang dibungkus dengan daun pisang dan dibakar/panggang.
  • Sauk - tangguk
  • Kae - kail
  • Coye - cari
  • Galok - galak
  • Sanga (sangai) - tudung saji

ps: mewahnya bahasa...

Sumber : Berita Harian (Sastera)

0 comments: